05 September 2010

KEDAH MESTI BERUBAH & JANGAN BAWA REBAH

Pakatan Rakyat yang diterajui PAS telah memerintah negeri Kedah masuk tahun yang ketiga. Dalam masa yang singkat ini berbagai pandangan rakyat yang didengari. Mereka yang rajin mengikuti perkembangan politik dengan mentafsirkan cara politik sementara rakyat biasa mengikut pesepsi media dan penyampaian dari orang politik. Dalam masa PR terus mendapat kepercayaan dari rakyat untuk terus memerintah, pihak lawan pula hari demi hari mencari isu yang boleh diketengahkan untuk menonjolkan diri dan parti. Maka hari demi hari kita menyaksikan pergelutan politik. Pakatan Rakyat Kedah yang diterajui oleh nakhoda seorang ustaz dan berpengalaman luas dalam sepak terajang pilitik terus boleh bertahan walaupun saban hari ada saja isu yang cuba dibangkitkan. Bagi kami yang bergerak dalam NGO ada beberapa perkara dapat kami kesan yang memerlukan pembaikan segera. Antaranya ialah:

1. Pusat hiburan

Langkawi masih menjalankan operasi Pusat Hiburanya sehingga ke pukul 4 pagi. Ketidakpatuhan pusat hiburan terhadap undang-undang PBT seakan-akan mereka mendapat restu dari PBT. Saya kerap kali mengadu kepada sahabat saya yang berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, namun aduan saya itu hanya dipandang sinis. Pernah pada satu malam saya bersama teman-teman LANDAS Langkawi beserta Ahli Majlis dan pegawai-pegawainya turun ke lapangan mengajak mereka menyaksikan sendiri apa yang kami dakwa. Pada masa itu kami menjangkakan akan ada penguatkuasaan pada hari berikutnya. Harapan saya meleset sekali kerana sehingga ke hari kesemua pusat hiburan masih beroperasi seperti biasa. Memang tepatlah slogan "Kedah sejahtera nikmat untuk pemabuk dan penzina". Mungkin rakan-rakan saya dalam ahli majlis boleh tidur lena tetapi kami anak Langkawi sebaliknya. Kami dihantui oleh kerosakan anak remaja sementara kerajaan tidak berbuat apa-apa. Saya tak nampak peranana kerajaan dalam membendung gejala sosial sebaliknya hanya menambah kerosakan yang sedia ada. Orang parti yang bercakap "berjuang untuk Islam" pun tak nampak kerja mereka. Mereka hanya mengungkapkan kata-kata "kita mesti memartabatkan Islam dan berjuang untuk Islam".

Saya kerap kali menghantar sms kepada mereka yang mengakui pejuang Islam bila ada aktiviti turun ke lapangan. Mungkin dalam fikiran mereka Islam akan kuat dengan sendirinya tanpa perlu bekerja untuk menyebarkannya. Aktiviti rutin yang menjadi tradisi hanyalah ceramah politik hentam sana hentam sini. Natijahnya hanyalah untuk mereka yang telah lama mengikuti tradisi ini tetapi bukan untuk menarik mereka yang tak kenal Islam.

2. Arak

Arak adalah menu utama di Langkawi. Menjadi satu kerugian kepada pelancung atau anak tempatan jika tidak meneguk arak. Arak semurah RM1.30 membolehkan semua orang merasai air kencing syaitan itu. Kemana sahaja anda pergi anda akan menyaksikan anak-anak melayu memegang plastik hitam yang mana di dalamnya adalah tin-tin arak. Cuba bayangkan jika harganya hanya RM1.30 setin. Pelancung eropah yang datang ke Langkawi mampu membeli selori carlberg dan dijamu kepada anak-anak orang Islam. Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang dipimpin oleh orang Islam telah menjadikan anak Langkawi sebagai mangsa kemajuan. Biar anak orang Islam lingkup asalkan pelancung datang melimpah dan langkawi terus dibanjiri pelawat. Dalam Hadis Nabi s.a.w., 15 perkara mengundang bala Allah dan salah satunya "arak diteguk di merata-rata tempat".

Kalau sebelum memerintah kerajaan terdahulu diasak dari berbagai sudut kononya menjadikan anak langkawi sebagai mangsa pembangunan dan membangun tidak mengikut acuan Islam namun hari ini ianya tidak menampakkan perbezaan. Saya selaku pengerusi dan penyelaras LANDAS Langkawi pernah beberapa kali di pelawa bergabung dengan sebuah parti politik untuk menjalankan aktiviti mendekati remaja namun saya menolak pelawaan tersebut. Alasan saya ialah mahu mereka mendesak kerajaan pusat menari balik status bebas cukai terhadap arak.

Jika ini tidak dilakukan tak perlulah berpura-pura mahu mengubati remaja yang rosak. Kerajaan negeri juga tidak berusaha untuk mengurangkan orang Islam Langkawi dari ketagih arak. Kami pernah menyerahkan memorandum secara terus kepada MB meminta beliau mengkaji status bebas cukai ke atas arak namun sehingga kini belum ada jawapannya. Kami tidak menghalang orang bukan Islam mabuk tetapi jangan sampai kami turut menjadi mangsa. Sepatutnya kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabtan Agama Islam Negeri memperbanyakan papan kenyataan kesalahan jenayah syariah 1988 seksyen 25 (1) dan 25 (2). Orang Islam yang minum arak jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melenihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala yang menyedia, memberi minum dll sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

3.Tazkirah

Saya pernah mencadangkan kepada sahabat saya yang menjadi orang kuat parti tentang betapa pentingnya tazkirah sebelum solat Jumaat. Tazkirah penting dalam usaha memberi kefahaman dan penghayatan Islam kepada mereka yang malas menghadiri kuliah-kuliah agama. Jika tazkirah diadakan setiap kali sebelum solat Jumaat lama kelamaan akan bertambah meriahlah masjid atau surau. Sehingga ke hari ini hanyalah kuliah yang berbentuk tradisi yang diadakan di semua masjid atau surau. Tiada alternatif lain yang diketengahkan dalam usaha membawa masyarakat kembali menghayati Islam yang syumul. Exco yang bertanggungjawab terhadap agama tidak mengetengahkan idea-idea baru sebaliknya hanya menuruti apa yang sedia ada. Saya pernah diberitahu oleh seorang sahabat saya yang terkenal sebagai penceramah dimana beliau mengatakan di Selangor Datuk Dr. Hassan Ali telah mengarahkan setiap masjid supaya mengadakan tazkirah sebelum solat Jumaat. Saya juga pernah memohon untuk menjadikan Dataran Pekan Rabu sebagai Dataran Ilmu namun permohonan saya juga tidak mendapat sebarang respon. Mereka lebih rela melihat kawasan tersebut terus menjadi sarang maksiat berbanding menjadikannya sebagai tempat menimba ilmu.

4. Ketua Kampung

Ketua Kampung atau MKK yang di lantik gagal menunaikan tanggungjawab. Mereka tidak dikenali masyarakat dan tidak memahami selok belok pentadbiran. Mereka tidak memahami apakah saluran yang betul dalam menangani sesuatu masalah. Di kawasan saya contohnya kelibat ketua kampung langsung tak pernah kelihatan bahkan penghuni di kawasan tersebut tidak mengenali siapakah ketua kampung mereka. Mereka dilantik atas dasar politik tetapi bukan atas dasar ilmu.

5. Kad Kuasa pencegah maksiat

Oleh kerana maksiat yang tidak terbendung, LANDAS Langkawi pernah menawarkan diri membantu pihak jabatan Agama. Di Langkawi hanya seorang kakitangan yang memiliki kad kuasa pencegah maksiat. Kad Kuasa tidak lagi diberikan kepada orang awam kerana kononnya takut disalah guna. Pemegang kad terdahulu dikatakan pernah menyalah gunakan kad kuasa. Persoalannya mengapa harus ditarik balik. Adakah kesemua mereka yang memiliki kad kuasa menyalah gunakan kad tersebut.

Harap kerajaan negeri dapatlah menilai apa yang kami kesan dalam kekurangan pentadbiran kerajaan negeri dalam usaha merialisasikan "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

0 comments:

Catat Ulasan