LANDAS TAGIH JANJI DR. ASRI
Kami di pihak LANDAS masih menanti bila agaknya bekas mufti Perlis DR Asri mengotakan janjinya untuk turun padang menyampaikan risalah dakwah. Memang benar apa yang beliau kata bahawa umat Islam tidak sepatutnya membiarkan saudara seIslam kita terus hanyut tanpa ada yang menghulurkan tangan untuk menyelamatkan mereka. Nabi s.a.w sangat mengambil berat tentang saudaranya tetapi aspek ini telah ditinggalkan oleh orang Islam. Apakah beliau masih mencari kaedah dan uslub yang sesuai baru mahu memulakan kerja dakwah di lapangan.
Sebagai seorang pensyarah dan mantan Mufti, beliau tentunya memiliki banyak bahan-bahan uslub dan manhaj dakwah dan tidak memerlukan terlalu banyak masa untuk beraksi di lapangan. Janganlah sampai tiada tempat di masjid baru beralih ke lapangan. Medan menyampaikan ilmu Islam di luar lebih luas jika di bandingkan di dalam masjid. Masjid hanyalah kesinambungan ilmu manakala dakwah yang sebenar adalah di luar masjid.
Pendakwah lapangan memerlukan seorang pendakwah lapangan yang hebat untuk memimpin pergerakan dakwah agar ia lebih tersusun dan berkesan. Dengan nama dan ilmu yang banyak, kepakaran beliau sudah pasti amat diperlukan. Kami di pihak LANDAS amatlah mengalukan kehadiran beliau dalam memberikan suntikan semangat untuk terus istiqomah dalam kerja dakwah.
Sepatutnya dengan bilangan ilmuan Islam yang semakin bertambah dari hari ke hari, kita tidak ketandusan pendakwah namun malang sekali ustaz-ustaz yang dilahirkan hanya memilih jalan selesa tanpa memikirkan kebejatan umat. Difahamkan sebanyak 6000 orang ustaz dihasilkan setiap tahun dan sudah pasti umat Islam tidak ketandusan ilmuan Islam. Tetapi dengan terhasilnya produk ilmuan Islam kerosakan umat seolah-olah tiada noktah bahkan semakin membarah. Nampaknya penyakit cinta dunia dan takut mati bukannya hanya menular di kalangan orang awam tetapi telah menghinggapi mereka yang bergelar para ilmuan Islam.
Mungkin ramai yang akan menghentam saya di atas kritikan saya terhadap ustaz-ustaz yang saya maksudkan namun bukanlah niat saya untuk mencari kesalahan para ustaz tetapi hanya sekadar memberi peringatan. Sebelum ini pun saya pernah dihentam oleh seorang ustaz yang juga merupakan seorang kawan, kerana saya dianggap banyak menghentam mereka yang telah banyak berjasa kepada masyarakat. Memang benar bahawa kesenangan akan membuatkan kita rasa selesa dan seterusnya seakan-akan menjadikan kita menyerupai seekor ular sawa yang baru lepas menelan mangsanya.
Laporan Daripada: LANDAS Langkawi
0 comments:
Catat Ulasan