11 April 2010

LANDAS sokong langkah MAIK dan JHEAIK ganti imam tua dan lanjut usia


LANDAS Langkawi sokong langkah Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) menggantikan khidmat imam tua demi memastikan institusi masjid lebih ceria dan bertenaga. Perkataan tua sudah cukup menggambarkan bahawa mereka tidak mempunyai cukup stamina untuk mentadbir masjid.


Masjid adalah institusi yang sangat penting kepada masyarakat Islam dan ia memerlukan nakhoda yang cergas fizikal dan minda. Negeri Kedah memiliki ribuan Al-Hafiz muda yang hafal Quran dan mereka patut diberi peluang untuk mentadbir masjid. Keceriaan sesebuah masjid bergantung kepada seseorang imam.


Bukan sahaja imam tua yang patut diganti bahkan imam yang kaku juga perlu dihapus kira. Selain menggantikan imam tua MAIK dan JHEAIK juga dicadangkan mendapatkan pandangan anak kariah tentang imam sedia ada. Difahamkan ada imam yang datang ke masjid hanya pada hari Jumaat atau semasa akad nikah pasangan pengantin. Mereka jarang datang sembahyang waktu di masjid sebaliknya sibuk di luar masjid. Ada di antara masjid yang memiliki wang dalam bank mencecah ratusan ribu ringgit dan terlalu sayang membelanjakan wang. Sepatutnya sumbangan orang ramai segera dibelanjakan untuk tujuan sampai segera pahalanya kepada penyumbangnya.


Saya pernah pada suatu ketika mencadangkan agar masjid menyalurkan wang kepada surau di kariah mereka untuk mengimarahkan surau. Ini kerana anak kariah mengimfakkan wang mereka kepada masjid. Dengan cadangan itu saya telah dituduh cuba mengganggu atau masuk campur dalam urusan masjid. Selain dari itu saya juga pernah mencadangkan agar pihak masjid mengatur program di luar masjid dalam usaha mendekatkan orang masjid dengan mereka yang tidak pernah datang ke masjid. Ini bagi menghapuskan tanggapan bahawa orang masjid tidak mengendahkan mereka. Pandangan ini juga nampaknya dipandang sinis kerana mereka beranggapan bahawa Islam hanya di dalam masjid sahaja.


Imam yang telah berumur juga diingatkan supaya muhasabah diri. Jawatan Imam Masjid bukanlah jawatan tetap. Masjid adalah hak umat Islam. Mengapa mereka yang bergelar imam mahu terus kekal dengan jawatan imam sedangkan tenaga mereka tidak lagi mengizinkan mereka terus berada di situ. Mereka seharusnya lebih realistik dari makmum.


Untuk memastikan imam dapat fokus kepada kerja mereka sebagai imam masjid, MAIK dan JHEAIK digesa memberikan gaji tetap dan lebih menarik. Elaun sebanyak RM800 sudah pasti tidak mencukupi. Keadaan ini memaksa mereka mencari altenatif lain untuk menampung berbelanjaan harian mereka. Kerja mereka ialah menjaga rumah Allah maka sewajarnyalah kebajikan mereka terjaga dan juga diberi perhatian sebagaimana penjawat awam.

Laporan Daripada: LANDAS Langkawi


0 comments:

Catat Ulasan