Salam 1431 Hijrah dari Pengerusi LANDAS Langkawi
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Tahun ini adalah tahun fasa ketiga LANDAS bergerak di tengah-tengah masyarakat. Bagi LANDAS Langkawi ianya baru masuk tahun kedua, usia yang sangat muda. AlhamdulilLah para aktivis begitu bersemangat. Ahli semakin bertambah dan mendapat perhatian masyarakat. Setiap hari ada saja hamba Allah bertanyakan tentang LANDAS dan aktivitinya. Teruskan sehingga Islam sampai memasukki melalui setiap pintu rumah penduduk Langkawi. Perjalanan masih jauh dan perbaharui ikrar hari ke hari dan berdoalah kepada Allah SWT agar kita di kekalkan di kalangan mereka yang menegakkan yang makruf dan menjauhi yang mungkar.
Menjadi aktivis yang menjaga kepentingan Islam bukan suatu perkara yang mudah. Jika mudah sudah tentu manusia akan berduyun-duyun dan menawarkan diri untuk berada di barisan hadapan. Jangan merungut dan jangan mengeluh jika terasa penat dalam perjuangan, kerana kepenatan itulah nanti yang akan menjadi saksi kepada usaha kita di hadapan Allah Rabbul Jalil. Sentiasalah berfikir ke arah mensejahterakan umat. Ketahuilah ramai yang memerhati perjalanan aktivis LANDAS dan pasti ramai yang akan menyertainya jika kita berjaya merintis jalannya.
RasululLah SAW pernah patah gigi, koyak baju besi, ditawarkan ganjaran kekayaan, ditawarkan menjadi pemimpin dan wanita agar berhenti menyebarkan Islam namun baginda tidak berganjak. Itulah tandanya Islam itu maha agung dan pejuangnya tersangat hebat. Rasulullah tidak pernah memikirkan kepentingan diri sendiri dan sentiasa memikirkan kepentingan orang lain. "Umat ku, umat ku, umat ku" itulah kata terakhir baginda sebelum menghembuskan nafas terakhir. Baginda sangat takut kalau-kalau ada saudara seagama menyimpang dari landasan agama. Bukan mudah dalam kerja ingat-mengingati. Kadang-kadang di perli dan di keji namun itulah resam kehidupan seorang pendakwah.
Masyarakat yang dihidangkan dengan amal makruf dan amal munkar menuntut kita bekerja lebih gigih dan mempelbagaikan uslub dalam menyampaikan Islam. Kita perlu lebih berani dalam menghadapi suasana yang semakin mencabar. Lihatlah para sahabat mereka berebut-rebut berada di saf hadapan. Jangan takut dan jangan gentar sesungguhnya Allah pasti akan menjaga pejuang Nya. Jika pun ada caci maki semasa berada di lapangan itu tandanya Allah sedang menguji kita. Dia mahu melihat sejauh mana keihklasan kita. Jangan ada niat yang tak betul kerana ia akan merugikan kita.
Jangana tinggal usrah kerana ia adalah penguat jiwa. Berbicaralah dengan penuh hikmah dan selalu bersangka baik semasa di lapangan. Kita hanyalah menjalankan amanah dan Allah jualah yang memberikan hidayah. Akhir kata, semoga sahabat semua berjaya sampai ke garisan penamat sehinggalah Allah menjemput kita. Insya Allah kita akan melipat gandakan usaha dan mencelikkan masyarakat betapa pentingnya hati yang hidup dan sentiasa berfikir bahawa menjaga Islam adalah tanggung jawab bersama.
0 comments:
Catat Ulasan