LANDAS Langkawi sambut baik cadangan Dr Mohd Asri Zainul Abidin
LANGKAWI - LANDAS Langkawi menyambut baik keinginan bekas Mufti Perlis mengatur program ‘ulama turun padang’ memasuki pusat hiburan untuk berdakwah kepada golongan muda termasuk di kalangan artis tempatan. Kami amat berbesar hati dan berbangga jika semua para da’i dan murabbi dapat bersama-sama beraksi di lapangan dan tidak hanya beraksi di zon selesa untuk menerangkan keindahan Islam. Aktivis LANDAS telah dua tahun menjalankan aktiviti dakwah mendekati remaja atau mereka yang menghabiskan masa di tempat-tempat maksiat di Langkawi, Sungai Petani, Alor Star, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan lain-lain tempat lagi.
Sudah sekian lama dakwah melalui ceramah dan pengajian kitab dilaksanakan di zon selesa, dalam lingkungan masjid, musalla, dewan seminar, forum perdana, ceramah perdana, bilik kuliah dan seumpamannya, malah pengajian ilmu Islam berlangsung setiap hari. Begitu juga masjid dan surau tidak akan lepas peluang mengadakan sambutan perayaan hari kebesaran Islam seperti ma’al hijrah, isra’ mi’raj, maulidur-Rasul, nuzul Qur’an dan sebagainya. Para pendakwah juga tidak akan menolak sebarang jemputan ceramah kecuali telah berlaku pertindihan jadual. Panitia program juga akan memberikan wang saku kepada penceramah atas kesanggupan mereka yang menerima undangan.
Malang sekali para pendakwah lapangan akan berkorban harta benda dan wang saku untuk berjuang di lapangan untuk menyampaikan mesej dakwah, mendidik dan mengajak mereka pulang ke pangkal jalan. Masuk ke lorong-lorong, pusat-pusat hiburan, disco, kafe bar dan tempat melepak anak muda Islam. Lokasi ini tidak selesa, panas, penat dan terkadang berhadapan dengan bermacam-macam risiko. Tidak ada siapa pun yang ingin menghulur derma dan bantuan fi-sabilillah demi mempertahankan maruah Islam.
Kebanyakan umat Islam hari ini teraba-raba dan tercari-cari kemana arah mereka hendak pergi membawa diri. Keadaan ini amat menunutut umat Islam yang faham Islam datang kepada mereka dan seterusnya menyajikan cara hidup Islam. Umat Islam yang sayangkan rakan seagama tidak sepatutnya membiarkan mereka terus hanyut dan sesat tanpa petunjuk dan bimbingan. Kita membiarkan mereka terhoyong-hayang. Masyarakat tidak akan jadi baik tanpa kita menunjukkan mereka jalan keluar dari lembah kehancuran dan memandu mereka ke jalan kebenaran.
Islam tidak akan cemerlang dan gemilang jika umat Islam sendiri tidak bekerja untuk Islam dan hanya beraksi di dunia fantasi, tanpa menjenguk ke alam realiti yang lebih luas. Umat Islam hari ini amat mengharapkan Hassan Al-Banna yang kedua muncul, sanggup memasuki pusat-pusat hiburan dan simpati ke atas mereka yang rosak akhlak Islamnya. Kami aktivis LANDAS sangat mengharapkan agar lebih ramai cerdik pandai Islam yang sanggup meluangkan sedikit masa untuk terjun ke kelompok mereka yang buta mata dari melihat cara hidup Islam yang terbaik.
Kita mesti mempelbagaikan metod dan uslub dakwah dalam usaha meramaikan jamaah masjid dan surau. Dengan cara kita bergerak di luar masjid. Bersama-samalah kita bergerak demi untuk Islam dan umatnya. Kami mengajak seluruh para da’i dan murabbi, marilah bergabung dengan kami berdakwah di lapangan. Jangan tunggu sampai dah tak boleh mengajar di Masjid, Surau dan tempat-tempat tertentu baru kita nak turun berdakwah di lapangan. Ingatlah wahai kalian … Kita mulia kerana Islam.
0 comments:
Catat Ulasan