08 November 2009

Kewajipan patuhi amar makruf nahi mungkar...

ALLAH SWT mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian berbanding makhluk lain. Justeru, manusia dianugerahkan dengan pelbagai keistimewaan yang seterusnya mengangkat mereka sebagai khalifah Allah SWT yang mentadbir dunia ini. Oleh itu, manusia terutama umat Islam ditaklifkan Allah SWT untuk menjunjung segala perintah-Nya sama ada berupa suruhan mahupun larangan. Antaranya ialah solat, zakat, puasa dan haji serta amalan amar makruf nahi mungkar. Ungkapan amar makruf nahi mungkar sering kali diulang-ulang di helaian al-Quran bagi membuktikan betapa penting dan tingginya amalan itu.

Malah, yang lebih menariknya ialah amalan amar makruf nahi mungkar adalah antara ciri utama sebagai umat yang terbaik. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah SWT (dengan sebenar-benar iman).”– (Surah Ali Imran, ayat 110). Bertitik tolak dari sini, umat Islam wajib menginsafi bahawa mereka sebenarnya bertanggungjawab untuk melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar dalam konteks kehidupan seharian, selain menunaikan amalan fardu seperti solat, zakat, puasa dan haji.

Tambahan pula, konsep amar makruf nahi mungkar ini sebenarnya pendekatan bagi menyelesaikan segala kemelut atau gejala sosial yang melanda sesuatu masyarakat. Dengan wujudnya kesedaran masyarakat Islam dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar pasti akan menghasilkan satu komuniti harmoni dan sejahtera. Sejarah membuktikan bahawa antara punca kejatuhan dan kelemahan sesebuah kerajaan atau bangsa kerana berleluasanya maksiat atau penyakit masyarakat seperti rasuah dan kezaliman.
Sehubungan itu, Allah SWT menegaskan akibat yang menimpa umat terdahulu kerana kelalaian mereka menegakkan kewajiban amar makruf nahi mungkar ini.Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah SWT Maha berat azab seksanya.” (Surah al-Anfal, ayat 25).Jelas daripada inti pati ayat suci itu bahawa perbuatan membiarkan saja maksiat berleluasa dalam masyarakat akan membawa bala bencana yang bukan saja menimpa orang berdosa, malah masyarakat keseluruhannya. Oleh itu, setiap Muslim bukan saja diwajibkan menjauhi dirinya daripada perbuatan dilarang Allah SWT, malah wajib mencegah perbuatan terlarang itu daripada merebak dalam masyarakatnya.

Kisah kebinasaan kaum Bani Israel cukup menjadi pengajaran kepada umat Islam terhadap pentingnya amar makruf nahi mungkar dijulang dan ditegakkan bagi memastikan kelangsungan kehidupan manusia di bumi ini. Kisah mereka dirakam Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 78-79 yang bermaksud: “Orang kafir Yahudi dari Bani Israel dilaknat (dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) daripada perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Dan sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan.”

Lanjutan itu, Rasulullah saw memberikan panduan kepada umat Islam mengenai adab mencegah kemungkaran apabila dilihat berlaku dalam kehidupan seharian. Sabda Baginda bermaksud: “Sesiapa daripada kamu yang ternampak kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya atau mencegahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya dia tidak mampu dengan tangannya, maka hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) juga dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” – (Riwayat Muslim)
Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan dengan terang mengenai perkara yang dihalal dan diharamkan kepada umat Islam. Oleh itu, amar makruf nahi mungkar wajib dilaksanakan selaras dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Contohnya, kalau Allah SWT mengharamkan judi, riba, arak, kezaliman, fitnah memfitnah dan sebagainya, maka janganlah dibiarkan amalan itu dilakukan dan seterusnya merebak dalam masyarakat Islam. Ini kerana ia jelas larangan Allah SWT. Ringkasnya, apa saja perbuatan ditegah Islam adalah wajib dihalang dan dicegah agar tidak merebak dalam sesebuah masyarakat.

Sebaliknya, amar makruf pula lebih menjurus kepada menyeru umat Islam agar kembali kepada Islam secara keseluruhannya. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” – (Surah al-Baqarah, ayat 208) Dari sini, jelas bahawa amar makruf mempunyai pengertian luas merangkumi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Menyeru manusia agar berakhlak mulia, berilmu dalam segala disiplin ilmu sama ada duniawi mahupun ukhrawi dan kembali kepada Islam termasuk dalam skop pengertian amar makruf. Begitu juga menyeru manusia ke arah perpaduan dan kesatuan ummah, menegakkan keadilan sosial, memerangi kemiskinan dan perjuangan menegakkan Islam termasuk dalam erti kata amar makruf. Pendek kata, perjuangan ke arah kebaikan dan kesejahteraan ummah sejagat menurut landasan Islam termasuk dalam pengertian amar makruf.

Meninjau senario umat Islam mutakhir ini, setiap umat Islam bertanggungjawab melaksanakan amar makruf nahi mungkar berdasarkan kemampuan dan kuasa yang ada pada mereka. Contohnya, ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak dalam pemeliharaannya. Anak mereka wajib diasuh dengan tarbiah Islamiah agar menjadi anak soleh dan bermanfaat kepada masyarakat Islam. Sebaliknya, kalau anak mereka melakukan sesuatu bercanggah dengan nilai Islam dan norma masyarakat, maka ibu bapa bertanggungjawab untuk menegur anak mereka dan memelihara mereka daripada terjebak ke lembah larangan Allah SWT. Andainya tanggungjawab ini diabaikan, pasti harapan untuk membina institusi rumah tangga yang bahagia dan harmoni tidak akan tercapai.
Seterusnya, setiap anggota masyarakat bertanggungjawab menyemarakkan amar makruf nahi mungkar dalam konteks kemasyarakatan. Setiap orang sewajarnya berusaha ke arah menghidupkan sebuah masyarakat bertolak ansur, bersatu padu dan bekerjasama dalam segala lapangan hidup. Tidak ketinggalan, setiap orang wajib berwaspada terhadap sebarang unsur atau gejala negatif yang cuba meruntuhkan kerukunan dan kesejahteraan yang mengiringi hidup mereka.

Manakala bagi pihak kerajaan pula, dengan kekuasaan yang ada pada mereka boleh menguatkuasakan akta, enakmen atau undang-undang bagi memastikan amar makruf nahi mungkar dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Dengan pembabitan semua pihak dalam menjayakan amar makruf nahi mungkar, kerahmatan Ilahi juga yang akan menjelma memayungi kehidupan ummah sejagat. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itulah akan diberi rahmat oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” – (Surah at-Taubah, ayat 71)

Jaga Diri N Hiasi Peribadi..
Oleh :iLa shuhaiLa

0 comments:

Catat Ulasan